Memperkukuh Platform Pertumbuhan melalui Peluasan Aset dan Kepelbagaian Gaya Hidup
KUALA LUMPUR, 29 MEI 2025 – Magma Group Berhad ("Magma" atau "Syarikat"), sebuah konglomerat Malaysia dan entiti pemegangan pelaburan yang berakar umbi dalam bidang hospitaliti, serta berkembang pesat dalam pembangunan hartanah dan sektor berkaitan, hari ini mengumumkan keputusan kewangannya tidak diaudit untuk suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 ("S1 TK2025”). Syarikat turut berkongsi perkembangan korporat strategik terbaharu yang menandakan peralihan strategik ke dalam sektor makanan dan minuman (“F&B”).
Magma Group Berhad
Berbanding suku sebelumnya berakhir 31 Disember 2024 (“S4 TK2024”), prestasi kewangan Magma menunjukkan pemulihan ketara. Pendapatan meningkat daripada negatif RM4.381 juta kepada RM6.336 juta pada suku semasa, susulan pelarasan perakaunan pada S4 FY2024. LBT juga berkurang secara signifikan daripada RM35.680 juta kepada RM6.758 juta, menunjukkan ketiadaan kerugian penurunan nilai dan kerugian nilai saksama yang tinggi seperti pada suku sebelumnya.
Selari dengan prestasi kewangannya, Magma telah berjaya menyelesaikan satu inisiatif strategik utama pada suku tersebut– iaitu pemerolehan sebidang tanah komersial seluas 2.26 ekar di Mont Kiara bernilai RM80 juta dan penstrukturan semula kunci kira-kira. Urus niaga ini telah diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (“EGM”) yang diadakan pada 21 Mac 2025, dan dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang Syarikat dalam pembangunan hartanah bandar.
Bagi mengukuhkan lagi kepelbagaian ke dalam bidang gaya hidup, Magma juga menjalin usaha sama dengan CHAGEE (M) Sdn. Bhd., salah satu jenama teh premium yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Syarikat usaha sama yang baru ditubuhkan, Chagee Magma Sdn Bhd, akan menerajui pengembangan kedai CHAGEE di seluruh negara sambil memperkenalkan pengalaman teh yang disesuaikan selari dengan trend pengguna masa kini.
Dato' Sri Thomas Liang Chee Fong, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Magma Group Berhad, berkata, "Walaupun keputusan S1 kami mencerminkan tempoh peralihan strategik, kejayaan pemerolehan tanah Mont Kiara serta kerjasama strategik dengan CHAGEE merupakan titik perubahan penting dalam naratif korporat kami. Magma kini sedang membina semula kedudukan sebagai kumpulan berasaskan hospitality, hartanah dan gaya hidup, memanfaatkan kekuatan teras kami untuk membuka aliran pendapatan baharu, mengukuhkan nilai jenama dan membina hubungan lebih erat dengan pengguna moden Malaysia. Dengan asas yang semakin kukuh, kami melihat potensi besar untuk mengembangkan pendapatan berulang dalam sektor hospitaliti, F&B dan hartanah secara mampan dan bernilai tambah.”
Dengan pelbagai inisiatif penstrukturan semula yang sedang berjalan, Kumpulan kekal fokus pada pelaksanaan – termasuk membuka nilai daripada simpanan tanah baharu, mengoptimumkan operasi hotel, dan mempercepatkan pertumbuhan segmen F&B. Magma yakin dengan keupayaannya untuk mengukuhkan asas perniagaan dan menjana nilai jangka panjang kepada para pemegang saham melalui pengembangan yang berdisiplin dan perkongsian strategik yang disasarkan.